Home / Artikel & Blog / Umum / Waspada Berbuka Di Luar
Waspada Berbuka Di Luar

Waspada Berbuka Di Luar

Ramadhan al-Mubarak, bermakna bulan penuh keberkatan. Sepanjang bulan yang mulia ini bermacam peluang dan keistimewaan yang perlu direbut oleh umat Islam. Antara yang selalu disebut adalah pintu-pintu syurga dibuka dan ditutup pintu-pintu neraka, serta dibelenggu segala syaitan. Maka semestinya kita harus berlumba mengambil peluang ini melakukan kebaikan.

Kehadiran Ramadhan juga menjadikan manusia berlumba berniaga makanan. Malah Ramadhan seumpama pesta makanan di negara ini. Setelah seharian keletihan berpuasa menahan lapar dan dahaga, waktu berbuka seakan masa untuk membalas dendam dengan berjenis-jenis juadah yang terhidang.

Semenjak akhir-akhir ini kita dapati seolah-olah menjadi suatu budaya masyarakat Malaysia gemar berbuka di luar. Hidangan bufet Ramadhan pula menjadi kegemaran ramai samada di restoran, atau hotel-hotel. Kita dapati banyak restoran dan hotel ini berlumba-lumba menawarkan harga berpatutan dan sajian yang menyelerakan, lengkap dengan pencuci mulut, samada yang tradisonal maupun moden.

Selain dari faktor pembaziran kerana terlalu banyak makanan yang tidak dapat dihabiskan, terdapat juga satu perkara lain yang harus diberi perhatian. Baru-baru ini terdapat pendedahan bahawa tidak semua tempat makan yang menawarkan sajian berbuka puasa mempunyai sijil halal yang diyakini.

Kenyataan media Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia mendedahkan hanya 22 hotel dan 51 buah dapur di sekitar Wilayah Persekutuan yang diberikan persijilan halal oleh JAKIM. Ini bermakna bilangan hotel yang mendapat persijilan halal adalah sedikit berbanding dengan jumlah hotel yang terdapat di Kuala Lumpur.

Beliau juga telah memberi amaran kepada pengusaha hotel yang belum memiliki sijil halal agar tidak menyalahguna terma-terma yang boleh mengelirukan para pengguna seperti ‘bufet Ramadhan’ kerana ia adalah perbahasan halal dan boleh diambil tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di bawah Akta Perihal Dagangan 1972.

Senarai hotel di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang telah mendapat sijil halal dari JAKIM turut disertakan. JAKIM juga telah berusaha memaklumkan kepada 34 ketua perwakilan negara yang ada di negara ini bahawa JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) merupakan badan kerajaan yang diberi tanggunggjawab bagi mengeluarkan sijil halal di Malaysia.

Para perwakilan seterusnya digalakkan agar membuat pilihan ke hotel-hotel yang telah disahkan halal oleh JAKIM atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) bagi menganjurkan majlis keraian dan majlis berbuka puasa.

Pada hari sama kenyataan media tersebut, akhbar turut mendedahkan kebanyakan kopitiam di ibukota masih belum memiliki pengesahan halal oleh JAKIM. Sementara itu penguatkuasa JAKIM telah membongkar mengenai sos mengandungi alkohol dan arak digunakan sebagai bahan masakan juadah berbuka puasa. Ini berikutan operasi khas ke beberapa hotel di sekitar Lembah Klang.

Penolong Pengarah Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Bahagian Hab Halal Jakim, Amri Abdullah berkata sepanjang dua hari itu pihaknya memeriksa sembilan hotel dengan tumpuan diberikan kepada hotel yang menawarkan sajian bufet Ramadhan. Hasil pemeriksaan menemui bukti kukuh arak dan sos beralkohol digunakan sebagai bahan masakan termasuk juadah berbuka puasa di dua hotel.

Pemeriksaan rapi dilakukan di dapur hotel berkenaan yang dibahagikan kepada bahagian penyediaan makanan tempatan serta bahagian dapur khusus makanan Cina dan barat. Ketika memeriksa di dapur makanan Cina dan barat, mereka menemui deretan botol arak masakan dan sos beralkohol diletakkan di rak khas. Setiap botol arak dan sos itu kandungan alkohol melebihi sepuluh peratus.

Selepas disoal siasat, tukang masak di hotel berkenaan mengaku mencampurkan arak dan sos beralkohol ke dalam masakan bagi menambah perisa hidangan. “Tindakan mencampurkan arak ke dalam masakan yang kemudian disajikan dalam hidangan bufet berbuka puasa jelas perbuatan melampau dan memperdaya pengguna Islam yang berbuka puasa di hotel berkenaan” katanya.

Penjelasan diberikan bagi memastikan mereka mematuhi syarat terutama membabitkan makanan pelanggan beragama Islam. “Tujuan Jakim bukan saja mengambil tindakan undang-undang, malah kami cuba mendidik dan memberi maklumat tepat kepada pihak hotel berhubung kaedah bagi mendapatkan sijil halal jakim. Maklum balas diterima menunjukkan ramai pengusaha hotel tidak faham kaedah memohon sijil halal berkenaan”, katanya.

Umat Islam disaran jangan mengambil mudah serta berwaspada dalam hal ini. Jangan sampai keletihan berpuasa sepanjang hari menjadi sia-sia apabila berbuka puasa di tempat yang tidak pasti sijil halalnya. Kita khuatir pahala berpuasa akan hilang akibat kelalaian kita sendiri, apa yang tinggal dari berpuasa itu hanyalah sekadar lapar dan dahaga saja.

Sumber :Waspada Berbuka Di Luar” oleh Mastura binti Mohd Zain di artikel IKIM.

Sisipan Video

About Admin Pesara.TH

Webmaster www.pesara-th.org.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Scroll To Top