Home / Artikel & Blog / Umum / Bulan Ramadan dan Al Quran
Bulan Ramadan dan Al Quran

Bulan Ramadan dan Al Quran

Umat Islam seluruh dunia pastinya menanti untuk menyambut ketibaan bulan Ramadan beberapa hari lagi. Persiapan untuk menyambut Ramadan juga semakin rancak. Ini termasuklah dari segi juadah untuk berbuka dan bersahur, tidak kurang juga yang sudah mula membuat persiapan untuk menyambut Hari Raya.

Semuanya ini tidaklah menjadi suatu kesalahan; asalkan kita tahu batasannya serta tidak membazir. Namun di sebalik segala persiapan ini, jangan pula kita lupakan pengisian bulan Ramadan itu sendiri. Ramadan adalah bulan yang permulaannya rahmat, pertengahannya maghfirah (keampunan) dan akhirnya pembebasan daripada api neraka.

Di samping berpuasa, bulan Ramadan juga bulan yang diturunkan al-Quran ( Nuzul al-Quran), oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW. Al-Quran kekal sampai hari kiamat kerana ini adalah janji Allah SWT.

Sebaik-baiknya al-Quran dibaca setiap hari, apatah lagi di bulan Ramadan yang mempunyai hubungan yang rapat dengan al-Quran. Banyak kelebihan yang diberikan oleh Allah kepada hambanya yang membaca al-Quran.

Membaca al-Quran ganjarannya besar di sisi Allah SWT. Sebagaimana firman Allah SWT:

Sesungguhnya orang yang membaca al-Quran, mendirikan sembahyang dan membelanjakan sebahagian daripada rezeki yang Kami kurniakan kepada mereka secara rahsia dan terang-terangan, mereka mengharapkan perniagaan yang tidak pernah rugi, agar Tuhan mencukupkan pahala mereka serta menambahkan mereka daripada kurnianya, sesungguhnya Dia Maha pengampun dan pembalas” (Surah Fatir: ayat 29-30).

Pada bulan Ramadan Allah SWT akan melipatgandakan pahala ibadah. Bagi ibadah sunat, Allah akan melimpahkan setara dengan ibadah wajib. Dan untuk ibadah wajib, Allah akan melipatgandakan pahalanya sebesar 70 kali.

Justeru umat Islam harus merebut peluang dan ganjaran pahala pada bulan Ramadan ini. Hayati tujuan al-Quran itu diturunkan kepada manusia. Ia bukan sekadar sebuah kitab untuk dibaca dan diperlagukan tanpa memahami tujuan ia diturunkan.

Jika ramai orang yang boleh membaca al-Quran, melagukannya, menghiasi dinding rumah dengan ukiran-ukiran indah ayat al-Quran, namun enggan mendalami dan menghayati tujuan penurunannya, maka al-Quran itu tidak akan berfungsi dalam kehidupan manusia.

Ia seolah-olah seorang pesakit yang membaca jadual ubatnya, menulisnya dengan cantik dan indah tetapi tidak memakannya. Al-Quran diturunkan untuk menjadi petunjuk, menjelaskan petunjuk tersebut serta membuatkan pembacanya mampu membezakan antara yang benar dan salah, antara yang hak dan batil.

Ia menjadi cahaya kepada insan dalam menerangi cabaran kehidupan. Perkara ini tidak akan berlaku seandainya kita tidak mentadabbur (penelitian kandungan) al-Quran itu. Kejayaan kita ialah dengan memahami dan melaksanakan isi kandungan al-Quran.

Namun malangnya umat Islam hari ini cenderung kepada bertadarus tanpa beramal dengan isi kandungan al-Quran. Ia merosakkan keperibadian kerana mereka tidak menjadikan al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan.

Al-Quran bukan sekadar dibaca, tetapi mesti diteliti dengan baik. Sedikit yang dibaca sambil merenung dan memahami maksudnya adalah lebih baik daripada membaca tanpa merenung dan memahami apa yang dibaca.

Kita boleh melihat contoh kesan daripada bertadarus al-Quran daripada firman Allah SWT di dalam Surah al-Jumuah ayat 2 yang bermaksud:

“Dialah yang mengutus seorang rasul kepada kaum yang buta huruf dari kalangan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menyucikan (jiwa) mereka dan mengajarkan kepada mereka Kitab dan Hikmah (sunnah), meskipun sebelumnya, mereka benar-benar dalam kesesatan yang nyata”.

Ayat ini menceritakan bahawa al-Quran diturunkan kepada Rasulullah SAW dalam keadaan ummi yakni tidak tahu membaca dan menulis, tetapi akhirnya Nabi membaca dan mengajarkannya kepada sahabat-sahabatnya.

Maka kesan daripada tindakan itu lahir satu generasi seperti Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Uthman bin Affan, Ali bin Abi Talib dan AbdurRahman bin Auf, walaupun mereka itu pada zaman jahiliyah tergolong dalam golongan yang sesat.

Dengan bertadarus, seseorang akan lebih rapat dengan al-Quran. Generasi para sahabat lahir daripada keakraban ini. Bermula dengan keruntuhan akhlak dan moral sehingga digelar hidup dalam masyarakat jahiliyah, akhirnya mereka mampu membentuk peribadi insan yang mulia.

 

Sumber :Waspada Berbuka Di Luar” oleh Mastura binti Mohd Zain di artikel IKIM.

Sisipan Video

About Admin Pesara.TH

Webmaster www.pesara-th.org.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Scroll To Top